Faktor-faktor yang menyebabkan seseorang kanak-kanak itu lewat berjalan

Kongsikan

Secara umumnya, seseorang kanak-kanak itu akan sudah mampu untuk berjalan pada usia sekitar satu tahun. Mengikut kajian, 85% kanak-kanak akan mula berjalan tanpa memerlukan bimbingan dan alat sokongan pada sekitar usia 10 hingga ke 14 bulan. Sekiranya anda mendapati bahawa anak anda masih belum mampu untuk berjalan semasa umurnya sudah mencecah 18 bulan dan keatas, anak anda tersebut sudah boleh dikategorikan sebagai kanak-kanak yang lewat berjalan. Terdapat pelbagai faktor yang memungkinkan untuk anak anda mengalami masalah lewat berjalan ini.

Faktor Keluarga atau Latar Belakang Keturunan.

Sekiranya ibu atau bapa kepada kanak-kanak tersebut pernah mengalami masalah lewat berjalan semasa mereka kecil, kemungkinan anak mereka juga akan menghadapi masalah yang sama disebabkan oleh faktor keturunan. Walau bagaimanapun sekiranya ibu atau bapa mampu berjalan semasa berusia 2 tahun dan tiada masalah perubatan yang lain semasa mereka kecil, kemungkinan besar tiada apa yang perlu dirisaukan tentang anak mereka yang lewat berjalan tersebut.

Kelahiran Pramatang (Premature Birth)

Secara umumnya bayi yang dilahirkan pramatang atau ‘premature’ akan mengalami sedikit kelewatan perkembangan secara keseluruhan. Kelewatan perkembangan ini juga termasuklah lewat berjalan. Oleh yang demikian, kelewatan berjalan sekitar 2 ke 3 bulan mungkin tidak menjadi masalah terhadap bayi yang dilahirkan pramatang ini. Perkara ini juga bergantung kepada tahap bayi pramatang tersebut semasa dilahirkan.

Cerebral Palsy

Kanak-kanak yang mempunyai masalah cerebral palsy biasanya dapat dikesan pada peringkat awal, terutama sekiranya kanak-kanak ini mempunyai risiko-risiko berkaitan seperti lemas semasa kelahiran atau kelahiran pramatang. Walau bagaimanapun ada kanak-kanak cerebral palsy hanya dapat dikesan apabila mereka diperiksa oleh doktor kerana lewat berjalan. Secara umumnya, kanak-kanak cerebral palsy ini akan mengalami kekejangan otot serta kesukaran untuk menggerakkan anggota badan mereka dengan baik. Sebagai contohnya, mereka sukar untuk duduk bersila dan memilih untuk duduk dengan kaki dilipat ke belakang seperti posisi ‘W’, atau mereka tidak merangkak secara normal tetapi lebih kepada mengheret kaki.

Lewat Perkembangan Secara Umum (Global)

Ini bermaksud masalah lewat berjalan kanak-kanak tersebut adalah sebahagian daripada kelewatan perkembangan dalam aspek lain seperti bercakap, komunikasi, sosial, kemahiran tangan dan kognitif (berfikir). Terdapat banyak punca yang menyebabkan lewat perkembangan secara global antaranya ialah masalah sindrom seperti down syndrome, kecederaan otak disebabkan oleh lemas atau jangkitan kuman, atau pelbagai penyakit kronik yang lain.

Masalah Otot

Masalah otot ini termasuklah penyakit-penyakit yang dikenali sebagai muscular dystrophy, spinal muscular atrophy dan congenital myopathy. Penyakit-penyakit seperti ini akan menyebabkan banyak otot-otot badan menjadi lemah. Tanda-tanda awal mungkin boleh dikesan semasa peringkat bayi dan kanak-kanak lagi. Antaranya ialah bayi akan terasa lembik semasa digerakkan, kawalan kepala yang lemah dan kurang kekuatan pergerakan kaki dan tangan. Kesan daripada hal ini, mereka biasanya akan menjadi lewat berjalan, bahkan ada yang langsung tidak mampu berjalan atau berdiri.

Persoalan, Pertanyaan atau Kemusykilan Lain Mengenai Kanak-kanak Yang Lewat Berjalan?

Sebagai pasangan ibu bapa terhadap seseorang anak, sudah semestinya kita inginkan yang terbaik buat anak-anak kita yang sedang membesar. Namun, ada kalanya berlaku beberapa perkara yang tidak diduga dan terancang akan sedikit sebanyak menimbulkan rasa kegusaran di dalam hati. Sekiranya anda memerlukan sebarang konsultasi mengenai permasalah yang dihadapi oleh anak anda, anda boleh terus datang ke mana-mana cawangan Klinik Siti yang berhampiran dengan kediaman anda di mana Klinik Siti kini sudah mempunyai 31 cawangan di sekitar Selangor, Nilai, Putrajaya dan Kuala Lumpur. Klinik Siti dibuka daripada jam 8 pagi sehingga 11 malam temasuk pada hari Sabtu, Ahad dan juga cuti umum.

Klinik Siti menawarkan rawatan dan pemeriksaan kesihatan bagi lelaki dan wanita termasuk kanak-kanak, orang dewasa dan warga emas.

Maklumat Terkini

Tip Kesihatan

Menguruskan kanak-kanak yang jatuh. Kemalangan yang perlu dipandang serious oleh ibu bapa.

Tip Kesihatan

Masalah mabuk semasa mengandung. Punca dan cara untuk menanganinya

Tip Kesihatan

Kebaikan Susu Ibu buat bayi dan ibu itu sendiri wadah kebahagiaan ibu dan anak